25 Mac 2025 – Jabatan Perancangan, Penyelidikan dan Inovasi, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh (IPGK Ipoh) telah menganjurkan Bengkel Analisis Data SPSS bertempat di Makmal Bestari bagi meningkatkan kemahiran pensyarah dan penyelidik dalam pengendalian perisian SPSS untuk analisis data penyelidikan.
Bengkel ini terdiri daripada tiga slot utama, bermula dengan Slot 1: Pengenalan dan Templat SPSS yang disampaikan oleh En. Mubin bin Md Nor, Penolong Ketua Jabatan, JPPI. Slot ini menekankan cara memperoleh perisian SPSS secara atas talian, membentuk templat SPSS, memasukkan data, melakukan pembersihan data, dan menghasilkan normaliti data bagi memastikan keabsahan analisis yang dijalankan.
Seterusnya, Slot 2: Penganalisisan Data Deskriptif dan Rajah dikendalikan oleh En. Khairil Izuan bin Ibrahim, Pensyarah JPPI, yang memberi tumpuan kepada cara mentafsir data secara deskriptif dan menghasilkan rajah bagi mempersembahkan dapatan kajian secara efektif.
Bengkel diteruskan dengan Slot 3: Penganalisisan Data Inferensi (Parametrik dan Non-Parametrik) yang dikendalikan oleh Dr. Kamaruddinbin Ilias, Pensyarah JPPI. Peserta didedahkan kepada pelbagai kaedah analisis inferensi bagi menguji hipotesis penyelidikan dengan lebih tepat menggunakan ujian statistik parametrik dan non-parametrik.
Bengkel ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan memberi impak positif kepada peserta dalam meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka dalam analisis data penyelidikan. Pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan bagi melahirkan penyelidik yang lebih kompeten dalam bidang akademik dan pendidikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan